Telegram Group Search
Antara perkongsian Shaykh Saʿīd al-Kamalī حَفِظَهُ اللهُ yang sangat memberi kesan kepada saya ialah salah satu syair yang dilantunkan oleh beliau,

قالت مسائل سحنون لقارئها
لن تبلغ العلم حتى تلعق الصبرا
لا تبلغ العلم بطال ولا كسل
ولا ملول ولا من يألف البشرا

“Pengarang kitab permasalahan-permasalahan [al-Mudawwanah], Suḥnūn berpesan kepada sekalian pembacanya,

Kau tidak akan mendapat ilmu sehinggalah kau [melalui kepahitan seumpama] mengunyah ṣabir¹,

Orang yang tidak buat kerja dan orang yang malas pasti tidak akan dapat ilmu,

Begitu juga orang yang cepat bosan dan orang yang sentiasa mahu orang lain mendampinginya.”

Sabar dalam menuntut ilmu ini memang perit. Namun, pengakhirannya sangatlah manis.

Moga Allah kurniakan kita istiqamah sehingga akhirnya.

____________________________

¹ Sejenis tumbuhan yang sangat pahit, sehinggakan unta pun tidak mampu memakannya.
Pada akhir ceramah Shaykh Dr. Saʿīd al-Kamalī حَفِظَهُ اللهُ sesi pertama di Masjid Muhammadi, Kota Bharu pagi semalam, Shaykh mensyarahkan hadis yang masyhur berkenaan tiga orang lelaki yang terperangkap di dalam gua, lalu ketiga-tiga mereka berdoa kepada Allah menggunakan perantara amalan-amalan soleh yang pernah mereka lakukan agar dapat keluar daripada gua tersebut. Sebahagian riwayat ada menyatakan bahawa mereka berlindung di dalam gua kerana hujan. Lalu, batu yang besar pun jatuh dan menutupi pintu gua. Segala kesan yang menunjukkan mereka terperangkap di dalam gua telah pun dihilangkan oleh hujan. Tiada langsung yang dapat menolong mereka melainkan Allah. Justeru, setiap mereka memohon kepada Allah agar melepaskan mereka daripada kesusahan mereka. Jikalau tiada pertolongan daripada Allah, tentu tiada lagi mereka di atas muka bumi ini.

Ringkasnya, lelaki yang pertama itu adalah seorang yang berbakti kepada ibu ayahnya. Manakala lelaki yang kedua merupakan lelaki yang takut kepada Allah. Beliau sanggup tinggalkan perbuatan zina kerana takutkan Allah walaupun keadaan untuk melakukannya teramatlah mudah ketika itu. Lelaki yang ketiga pula adalah seorang lelaki yang sangat pemurah dan tidak mengambil harta yang bukan miliknya. Mereka semua bertawassul dengan amalan-amalan soleh mereka. Kata mereka, “Ya Allah, jika aku lakukan perbuatan ini semata-mata kerana-Mu, berilah kami jalan keluar daripada apa yang menimpa kami ini.” Akhirnya, mereka pun diberi jalan keluar oleh Allah.

Sebelum menutup majlis, Shaykh berkata bahawa beliau selalu bertanya kepada dirinya sendiri. Jika kita sendiri lalui kesusahan yang sama, mungkin terjatuh ke dalam telaga di kawasan pendalaman dalam keadaan tiada orang yang boleh menolong, tiada telefon dan alat komunikasi, adakah kita punya amalan soleh yang benar-benar ikhlas hanya kerana Allah yang boleh kita tawassul seperti tiga orang yang terperangkap tadi?
Forwarded from Nota Musaddad
Diriwayatkan, Muhammad bin Ahmad al-ʿUtbī menceritakan, suatu hari beliau ditimpa kekecewaan yang amat, lalu dia menyebut apa yang terlintas di benaknya:

أرَى الـمَـوتَ لِـمَـن أصـبَـــ
••• ــحَ مـغـمُـومًـا لَـهُ أروَحْ
"Kurasa, kematian bagi orang kesedihan itu lebih merehatkan."

Pada waktu malam, beliau terdengar suara bersenandung:

ألَا يــا أيُّــهـــا الـــمَــــرءُ
••• الــذِي الــغـــمُّ بِــه بـــرَّحْ
وقَـد أنــشَــدَ بـيـتَـا لَّــمْ
••• يَـزَلْ فـي فِـكـرِهِ يَـسْـنَـحْ
إذا اشتَـدَّتْ بِـك البَلـوَى
••• فَـفَـكِّــرْ فِـي ألَـمْ نـشْــرَحْ
فعُســرٌ بـيــنَ يُـســرَيْــنِ
••• إذا فــكَّــرتَـــهـا فــافْـــرَحْ
"Hei orang yang kekecewaan mengulit dirinya.
Dia melantunkan puisi yang melintas fikirnya.
Jika musibah menghujanimu, fikirlah tentang Alam Nasyrah¹.
Satu kesusahan antara dua kemudahan, jika kau fikirkan, nescaya kau gembira."

__

¹ Merujuk kepada ayat,

فَإِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ یُسۡرًا ۝ إِنَّ مَعَ ٱلۡعُسۡرِ یُسۡرࣰا ۝
"Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kelapangan, dan sesungguhnya bersama kesulitan yang tadi, ada kelapangan yang lain."

Musaddad Shaʿlami
Checklist Harian pada Bulan Ramadan

• Konsisten melakukan amalan fardu
• Menjaga solat sunah rawatib
• Solat tarawih
• Menghubungkan silaturahim, bersedekah dan memberi makan kepada orang lain
• Memperbanyakkan tilawah al-Qur’an
• Memperbanyakkan zikir lain, di samping zikir pagi dan petang serta zikir selepas solat
• Memperbanyakkan doa
• Menambahkan amalan sunat
• Menjawab azan dan berusaha agar sempat berdoa selepasnya
• Berusaha mencari waktu mustajab berdoa setiap malam
1. Konsisten Melakukan Amalan Fardu

Menunaikan solat fardu pada waktunya secara berjemaah itu lebih disukai oleh Allah berbanding solat malam seseorang, tilawah al-Qur’annya, umrahnya dan sekalian amalan-amalan sunah yang lain.

Disebutkan di dalam hadis qudsi, “Tiada suatu amalan pun yang hamba-Ku lakukan untuk mendekatkan dirinya kepada-Ku, yang lebih Aku sukai berbanding amalan-amalan fardu yang telah Aku fardukan kepadanya.

Kalaulah mengerjakan umrah pada bulan Ramadan yang hukumnya sunah pun menyamai haji, bayangkan pula amalan fardu yang merupakan salah satu rukun Islam ini!
2. Menjaga Solat Sunat Rawatib

Sunat rawatib yang dimaksudkan itu:
• Dua rakaat sebelum Subuh
• Dua rakaat sebelum Zuhur, kadang-kadang empat rakaat
• Dua rakaat selepas Zuhur
• Dua rakaat selepas Maghrib
• Dua rakaat selepas Isyak

Mengqada Solat Sunat Rawatib

Jangan ambil remeh. Kalau terlepas disebabkan tidur atau uzur syar’i yang lain, disyariatkan untuk mengqadanya. Jadi engkau boleh qada solat sunat dua rakaat sebelum Subuh, selepas Subuh. Boleh juga solat sunat sebelum Zuhur diqada selepas Zuhur. Dan begitulah yang lain-lain pun.
3. Solat Tarawih dan Qiam

Nabi ﷺ bersabda, “Sesungguhnya seseorang itu apabila dia solat bersama imam sehinggalah imam habis, Allah akan tuliskan pahala qiam sepanjang malam untuknya.”

Saʿīd bin Jubayr berkata, “Saya lebih suka tunaikan solat bersama imam walaupun hanya membaca surah al-Ghāshiyah berbanding solat membaca 100 ayat bersendirian.”

Jangan lepaskan peluang mendapatkan ganjaran solat tarawih habis bersama imam. Sesiapa yang mahu tambah di rumah, sangat bagus.
4. Menghubungkan Silaturahim, Bersedekah dan Memberi Makan Kepada Orang Lain

Dalam Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, Nabi ﷺ pernah ditanya, “Amalan dalam Islam apakah yang paling baik?

Baginda menjawab, “Memberi makan kepada orang lain.”

Baginda ﷺ merupakan orang yang paling pemurah dalam perkara kebaikan. Pemurahnya baginda itu mencapai tahap maksima pada bulan Ramadan.

Ibn Taymiyyah berkata, “Membantu orang fakir dengan memberi makan kepada mereka pada bulan Ramadan merupakan sunah orang Islam. Baginda juga telah bersabda, “Sesiapa yang memberi makan berbuka puasa kepada orang lain, dia akan mendapatkan pahala puasa orang itu juga.”
5. Memperbanyakkan Tilawah al-Qur’an

Ramadan merupakan bulan al-Qur’an. Bersungguhlah untuk bertilawah dan Memperbanyakkan bilangan khatam al-Qur’an.

Kalau engkau baca hanya sejam pagi dan sejam malam; dan setiap jam engkau habiskan tiga juz, engkau akan dapat khatamkan enam kali.

Kalaulah seseorang itu tidak dapat mengkhatamkan al-Qur’an pada bulan Ramadan, biasanya dia tidak akan khatam pada keseluruhan tahun yang berbaki!
6. Memperbanyakkan Zikir

Ibn al-Qayyim berkata, “Mana-mana orang yang melakukan amalan, orang yang paling utama dalam kalangan mereka adalah orang yang paling banyak berzikir.

Dalam kalangan orang yang berpuasa, yang paling utama dalam kalangan mereka adalah yang paling banyak berzikir.


Di antara zikir yang paling agung:

• لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدٍيرٌ

100 kali

• سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ

100 kali

• رَبِّ اغْفِرْلِي وَتُبْ عَلَيَّ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابٌ الرَّحِيم

100 kali

Tidak patut mana-mana orang mensia-siakan amalan yang agung ini.

Tiada yang lebih utama daripada mereka yang berzikir begini di akhirat kelak. Kalau ada pun, orang yang zikir lebih daripada bilangan ini.

Zikir pagi petang dan zikir selepas solat jangan lupa!
“Kita memang sudah melepasi setengah bulan Ramadan. Namun, kita masih ada peluang untuk mengejar semula, supaya nanti apabila tiba hari raya ketika ramai orang di sekeliling engkau sedang bergembira dengan amalan ketaatan mereka sambil memohon kepada Allah agar amalan mereka diterima, engkau
tidak menyesali kecuaianmu, mengimpikan kalaulah masa boleh diputar semula supaya engkau boleh melakukan dengan baik apa yang telah engkau sia-siakan.

Jauh sekali.. jauh sekali…”

Shaykh Dr. al-Bashīr ʿIṣām al-Murākushī حَفِظَهُ اللهُ
Bare Minimum Amalan Akhir Ramadan

Semalam, saya ada menulis sedikit renungan buat kita semua memandangkan kita pun telah memasuki fasa kedua bulan Ramadan yang pernuh berkat ini. Ada yang tertanya, supaya kita tidak menjadi orang yang rugi dan celaka apabila Ramadan melabuhkan tirai nanti, apa yang perlu kita buat?

Nah, tulisan kali ini, saya senaraikan beberapa amalan yang boleh kita amalkan bersama. Ia tidak payah, namun ganjarannya sangat besar.

1. Solat Subuh berjemaah

Nabi ﷺ bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim menerusi ʿUthman bin ʿAffan, “Sesiapa yang solat subuh berjemaah, seolah-olah dia solat sepanjang malam.”

2. Solat Isyak berjemaah

Nabi ﷺ bersabda dalam hadis yang sama, ia diriwayatkan oleh al-Imam Muslim menerusi ʿUthman bin ʿAffan, sabda baginda, “Sesiapa yang solat isyak berjemaah, seolah-olah dia bangun separuh malam.”

3. Solat Tarawih bersama imam sehingga imam selesai

Nabi ﷺ bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Tirmidhi dan al-Imam al-Nasaʾi menerusi Abu Dharr, “Sesiapa yang solat bersama imam sehinggalah beliau selesai, dituliskan baginya pahala bangun satu malam.”

Hadis ini sering kita dengar. Namun untuk bertahan sehingga rakaat yang terakhir itu, hanya Allah sahaja yang tahu ujiannya.

4. Bersedekah setiap hari

Ibn ʿAbbas berkata dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari, katanya, “Nabi ﷺ merupakan orang yang paling dermawan. Kebanyakan masa, baginda paling dermawan adalah pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril selalu bertemu dengan baginda setiap malam Ramadan, lalu beliau bertadarus al-Quran dengan baginda. Sungguh Rasulullah ﷺ ketika Jibril menemuinya itu, lebih pemurah lagi terhadap kebaikan daripada angin yang bertiup.”

Peruntukkan sejumlah wang untuk disedekahkan setiap hari pada bulan ini.

5. Berzikir 100 kali
لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Tiada langsung tuhan yang berhak diibadahi sebenar-benarnya, secara tunggal tiada langsung sekutu baginya, melainkan Allah. Milik-Nya lah segala kekuasaan, dan bagi-Nya lah segala pujian. Dia berkuasa terhadap segala sesuatu.”

Nabi ﷺ bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim menerusi Abu Hurayrah radiallahuanhu, “Sesiapa yang menyebutkan:

لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

100 kali pada pagi hari, pahalanya seolah dia membebaskan 10 orang hamba, dituliskan 100 kebaikan untuknya, dihapus 100 keburukan dan ia akan menjadi pelindung daripada syaitan sehinggalah waktu petang. Tiada seorang pun yang membawa sesuatu yang lebih utama berbanding orang [yang mengucapkan zikir] ini, melainakn seseorang yang mengucapkan lebih banyak daripada orang tadi.”

Nabi ﷺ menyebut lagi dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Shaykhan menerusi Abu Hurayrah, “Sesiapa yang memerdekakan seorang hamba mukmin, maka Allah akan membebaskan setiap anggota tubuhnya daripada api neraka sebagai gantian bagi setiap anggota hamba yang dibebaskan tadi.”

Cuba bayangkan jika kita mengucapkan zikir ini bertepatan pada malam al-Qadr. Darabkanlah dengan 1000 bulan!

6. Mengucapkan sebanyak 100 kali zikir
سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ

“Aku menyucikan Allah, syukurku buat-Nya kerana memberi dorongan itu kepadaku."

Nabi ﷺ bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim menerusi Abu Hurayrah, “Sesiapa yang mengucapkan subḥānAllāhi wa bi ḥamdihi 100 kali dalam sehari, dosanya akan diampunkan, sekalipun ia sebanyak buih di lautan.”

7. Menunaikan solat sunnah 12 rakaat sehari semalam

Nabi ﷺ bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim menerusi Ummu Habibah radiallahuanha, “Sesiapa yang menunaikan solat 12 rakaat sehari semalam, akan dibina untuknya dengan sebab solat-solat itu sebuah mahligai di dalam syurga.”
Apabila tenggelamnya matahari sebentar lagi, bermulalah fasa kemuncak pada bulan Ramadan ini, iaitu 10 malam terakhir yang mana pada salah satu malamnya, ada satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Berusahalah sungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Hidupkanlah malam-malam 10 akhir ini, pasti kita akan menjumpainya.

ʿAʾishah raḍiyAllāhu ʿanhā bercerita perihal Nabi ﷺ apabila memasuki 10 malam terakhir Ramadan, “Baginda akan menghidupkan malamnya, membangunkan isterinya, bersungguh-sungguh dan memperkemas ikatan kainnya.”

Kita tentunya banyak melakukan kekurangan pada hari-hari Ramadan sejak hari pertamanya lagi. Namun, untuk malam-malam akhir ini, jangan lepaskan peluang. Gunakanlah ia sebaik-baiknya. Anggaplah Ramadan ini seolah Ramadan terakhir kita.

Nabi ﷺ bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
“Amalan-amalan itu sebenarnya dikira pada pengakhirannya.”

Moga kita semua direzekikan untuk bertemu dengan malam al-Qadr dan diberi tawfiq untuk beramal soleh padanya. Amin.
Semakin besar ganjaran yang Allah ﷻ tawarkan kepada kita, semakin besar dan banyak jugalah dorongan dan tarikan yang cuba memalingkan kita daripada menggunakan sebaik mungkin tawaran Allah itu.

Dengan potongan harga bazar-bazar Ramadan, dengan isu-isu di media sosial yang bertali arus. Kita jangan terleka. Kekal fokus hingga penghujung. Peluang tidak datang banyak kali.

Moga Allah bantu kita.
Terkumpul Kemuliaan Tahunan, Bulanan Dan Harian Pada Hari Ini!

Hari ini merupakan salah satu hari yang terbaik sepanjang tahun, 10 Dhulhijjah, dan hari terbaik dalam seminggu, hari Jumaat dan waktu mustajabnya doa.

Perbanyakkanlah berdoa dan carilah masa-masa mustajabnya doa:

• Ketika imam menaiki mimbar untuk berkhutbah sehingga selesai solat
• Sebelum memberi salam dalam solat
• Ketika sujud
• Di antara azan dan iqamah
• Selepas asar sehingga terbenamnya matahari

Mintalah kepada Allah banyak-banyak secara konsisten, pasti kan kau bahgia bersama orang yang berjaya!

— Dr. ʿAbd al-ʿAzīz al-Shāyiʿ حَفِظَهُ اللهُ
Forwarded from Ḥadīth Project
10 Zulhijah (update).pdf
445.2 KB
[Ulang edar] Terjemahan ringkasan risalah Ahkam 'Ashr Dhil-Hijjah, oleh Shaykh Abdullah bin Abdul Rahman al-Sa'd, semoga Allah menjaganya.
Forwarded from Nota Musaddad
Tempoh hari makan-makan dengan Dr. MAZA di Johor, beliau berpesan, "Kamu ini, anak-anak muda, jangan pernah masuk dunia dakwah untuk kaya. Kaya itu Allah yang bagi. Kerja kamu, ikhlas dalam tugasan dakwah."

Lalu beliau membaca:

وَأَنْ لَوِ اسْتَقَامُوا عَلَى الطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَاهُمْ مَاءً غَدَقًا
"Dan jika mereka teguh berada di atas jalan petunjuk, pasti Kami akan curahkan hujan yang melimpah kepada mereka," iaitu Kami akan limpahkan rezeki mereka.

Ia firman yang benar-benar menyamankan.
"Di antara perkara pelik yang pernah saya dengar, ada seseorang yang dapat menghafal al-Qurʾan dengan semata-mata banyak kali membacanya sahaja. Tidak pernah walaupun sehari dia duduk berteleku untuk menghafal al-Qurʾan. Hanya sanya dia berterusan membacanya. Sebaik sahaja habis sekali khatam, dia akan terus mulakan bacaan pusingan baru pula. Sekarang, dia dapat mengkhatamkan al-Qurʿan setiap tiga hari! Dalam kebanyakan masa, dia membaca al-Qurʾan itu dengan hafalannya sahaja.

Jangan anggap sepelé tentang mengulang -ulang bacaan dalam tempoh yang lama, kerana sunggh kesannya lebih dahsyat dari magis!"

Moga Allah rezekikan hidup kita penuh dengan al-Qurʾan. Amin.
Forwarded from Nota Musaddad
Dalam keadaan biasa (by default), poligami adalah khilaf al-awla, menyelisihi hukum sunat yang lebih kuat, iaitu monogami. Demikian yang ditegaskan oleh kebanyakan ahli fiqh, Salaf dan Khalaf. Imam al-Shafi'i menggariskan, "Saya lebih suka jika seseorang bercukupan dengan seorang isteri, meskipun harus untuk dia menikah lebih daripada itu. Kerana Allah berfirman: Jika kamu risau tidak mampu berlaku adil [dalam nafkah zahir], maka cukuplah satu."

Jelas, antara poligami dan monogami, yang kedua lebih utama.

Alangkah baiknya jika begitu keadaan kita sekarang. Realitinya tidak begitu. Situasi zaman ini kebanyakannya bukan lagi poligami vs monogami. Sebaliknya, poligami vs zina. Godaan dan syahwat begitu bebas melata di sana-sini, wanita separa bogel terpampang dalam skrin dan di luar skrin. Tabaruj dan pergaulan bebas menjadi normal hatta dalam kalangan "orang agama." Media-media maksiat bertebaran. Ditambah dengan fitrah yang Allah tanamkan pada asal kejadian manusia.

"Boleh je tundukkan pandangan kan?"

Boleh, dik. Malah seseorang wajib menguatkan imannya, sentiasa bertegas dengan syahwatnya. Tetapi bukan orang seperti ini yang dibincangkan. Bahkan orang sebegini, wujudnya hanya dalam khayal dan filem, hampir tiada di bumi nyata. Bahkan orang begini jika wujud, pasti disisihkan masyarakat moden. Siapa saja mahu berteman dengan super-religious, tidak mahu berinteraksi dengan lawan jantina langsung kecuali keperluan, apatah lagi berkawan? Mengharamkan FB, Twitter, Instagram, Tiktok, YouTube, filem, dan televisyen kerana ia tempat aurat dan tabaruj?

"Ala, tak perlu begitu sekali..."

Kan? Perlu ada sedikit ruang untuk syahwat, begitu? Nah, tinggal lagi, mahu salurkan syahwat itu kepada yang haram atau yang halal? Jika dia masih bujang, dia berkahwin. Jika dia sudah berkahwin dan isterinya tidak memenuhi kriteria syahwat yang dihidangkan di media massa dan sosial? Poligami pilihan terbaik. Atau lawan syahwatnya, haramkan diri melayari FB, Twitter, Instagram, Tiktok, YouTube, filem, dan televisyen. Kembali kepada soalan di atas.

* * * *

Isu syahwat ini merangkumi banyak isu kemasyarakatan secara kolektif. Bukan hanya tentang hormon yang terembes sekali-sekala. Ia tentang bagaimana budaya kelucahan umum tersebar. Budaya ikhtilat, percampuran lelaki-wanita asing, yang dinormalkan. Adegan seks dan kecurangan ditayangkan di semua media. Ini perlukan tangan-tangan yang menghentikan, lisan-lisan yang menegur, hati-hati yang membenci. Perlu penggiatan semula dakwah dan tarbiyah (semakin tidak kedengaran perkataan ini, hatta dari Islamis sendiri) yang lebih mendasar.

Semoga situasi kembali menjadi perseteruan pilihan antara monogami vs poligami, lalu kita dapat menyebarkan makruhnya poligami tanpa keperluan dengan senang hati. Bukan zina vs poligami, menjadikan kita wajib menasihati untuk berpoligami buat yang diuji.

Kita, generasi muda yang Allah berikan sedikit kefahaman agama, mesti menjadi agen yang memperbaiki situasi ini. Kita tidak sempurna, tetapi semoga Allah perbaiki diri kita melalui usaha kita ini. Pupukkan budaya tundukkan pandangan, jaga ikhtilat dalam diri kita, dalam lingkungan kita. Tegur semampunya. Sekadar menggelengkan kepala melihat kerosakan moral dalam masyarakat tidak cukup. Sekurang-kurangnya, selitkan doa untuk umat ini dalam sujud dan solat malam kita.

Semoga Allah jadikan kita pemberi petunjuk yang mendapat petunjuk.
اللهم اجعلنا هُداةً مهتدينَ، واجعلنا للمتِّقين إمامًا.

✍️ Musaddad Shaʿlami
Salah seorang salaf pernah ditanya, “Bilakah seseorang hamba itu dianggap ikhlas?”

Beliau menjawab, “Apabila perangai seseorang hamba itu menjadi persis perangai budak kecil yang masih lagi menyusu; dia tidak kisah pun sesiapa yang memuji atau mengejinya.”

Tanbīh al-Mughtarrīn
2024/06/06 18:47:58
Back to Top
HTML Embed Code: